Friday, December 7, 2012

KARANGAN CONTOH 1


Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah Menonton Televisyen”.

            Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang begitu meluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita kini. Hampir setiap rumah pasti memiliki satu atau mungkin dua televisyen. Jadi, keadaan ini membuktikan bahawa ada banyak faedah menonton televisyen kepada masyarakat.

            Faedah yang pertama ialah seseorang itu dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di seluruh dunia dengan mudah dan cepat. Kita boleh menonton siaran berita yang memaparkan kejadian-kejadian penting yang berlaku di luar negara. Jelaslah, televisyen menjadikan seseorang itu lebih mengetahui peristiwa semasa yang sedang berlaku di dalam dan di luar negara.

            Selain itu, televisyen juga boleh dijadikan sebagai alat pendidikan yang berguna. Sudah ada banyak program berunsur pendidikan yang disiarkan menerusi televisyen bersama-sama program dokumentari dan sains yang boleh memberi informasi kepada pelajar tentang sesuatu ilmu pengetahuan itu. Maka, pelajar boleh mempelajari tentang pelajarannya menerusi program televisyen juga.

            Malah, menonton televisyen menjadikan masa lapang seseorang itu dihabiskan dengan begitu berfaedah. Seseorang itu tidak akan terbabit dalam gejala tidak sihat kerana mereka tidak perlu keluar dari rumah untuk menonton televisyen. Oleh itu, tindakan menonton televisyen memastikan seseorang itu menghabiskan masanya dengan bermanfaat.

            Kesimpulannya, menonton televisyen merupakan satu tindakan yang berfaedah kepada manusia itu. Kebanyakan siaran televisyen berupaya untuk menjana pemikiran seseorang menjadi lebih kritis dan kreatif. Cuma kita perlu mengawalnya agar sikap menonton ini tidak keterlaluan atau terlalu lama untuk satu tempoh tertentu pula.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.