Friday, December 7, 2012

KARANGAN CONTOH 4

Lengkapkan perenggan pendahuluan di bawah ini supaya menjadi cerita yang menarik.
             Azman sedang mengulang kaji pelajaran di rumahnya bersendirian. Jam di dinding menunjukkan pukul 10 malam. Ibu dan ayahnya masih belum pulang dari pasar malam. Tiba-tiba Azman terdengar jeritan meminta tolong. Aku segera....... 

Mulakan Aku segera......... 

               Aku segera membuka tingkap rumah. Suara meminta tolong itu jelas datangnya daripada rumah jiranku, Makcik Siti. Aku memanggil ayah dan ibu jika mereka sudah pulang tetapi tiada jawapan dari bilik mereka. Aku terpaksa membuat keputusan sendiri kerana pasti Makcik Siti dalam kesusahan.

              Aku bergegas ke rumah Makcik Siti lalu mengetuk pintu tetapi tiada jawapan. Aku segera menendang pintu itu sehingga terbuka dan ternampak Makcik Siti sedang mengerang kesakitan. Muka perempuan tua itu mengerut menahan kesakitan yang pastinya begitu menyakitkan. Namun, mataku segera ternampak seekor ular tedung tidak jauh dari tempat Makcik Siti itu.

              Aku mula faham bahawa Makcik Siti menjerit kerana ternampak ular itu tetapi kini dia pula telah dipatuk dan pastinya bias ular itu mula memasuki system peredaran darahnya. Aku perlu bertindak pantas dan tindakan pertama sudah pasti untuk menghalau ular itu daripada terus menyerang kami berdua. Kayu penyapu di tepi dinding segera aku capai lalu aku menolak ular itu ke arah pintu supaya aku boleh memberikan bantuan kepada Makcik Siti.

              Aku segera memeriksa denyutan nadi di tangan Makcik Siti dan mendapati denyutan nadinya masih ada walaupun wanita itu kelihatan sudah pengsan agak lama. Bunyi kereta di luar menandakan ayah dan ibu sudah kembali dari Bandar. Aku segera mendapatkan mereka lalu menceritakan perkara yang sebenar. Ayah dan aku mengangkat Makcik Siti untuk dibawa ke hospital dengan kereta ayah.

              Sebaik sahaja sampai di hospital, aku segera memberitahu doktor bahawa Makcik Siti telah dipatuk oleh seekor ular tedung supaya doktor boleh memberikan ubat anti bisa yang sesuai. Kami menunggu di bilik menunggu sementara pihak doctor cuba menyelamatkan jiran kami itu.

             Hampir sejam kemudian, doktor itu kembali dan memberitahu bahawa Makcik Siti berada dalam keadaan baik sambil mengucapkan terima kasih atas kepantasan aku bertindak terutama memberitahu tentang jenis ular yang mematuk jiran aku itu.

KARANGAN CONTOH 3


Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Masalah Pencemaran Udara di Negara Kita

Salam sejahtera tuan pengerusi majlis, guru-guru dan pelajar semua. Tajuk
syarahan saya pada pagi ini ialah “Masalah Pencemaran Udara di Negara Kita.

Hadirin sekalian,

            Masalah pencemaran udara yang wujud di negara ini semakin meruncing. Bukti betapa seriusnya kemelut ini boleh disaksikan menerusi pelbagai laporan akhbar media massa terutama media cetak kita. Malah, pencemaran yang berlaku di negara ini bukan setakat melibatkan udara sahaja tetapi air dan juga di daratan.

          Antara faktor yang menyebabkan masalah udara kita tercemar ini ialah pelepasan asap dari kilang dan kenderaan. Jumlah bilangan kenderaan di negara ini terus meningkat saban tahun. Manakala pihak kilang pula secara berleluasa melepaskan asap toksik kilang mereka tanpa bimbang disaman atau ditahan oleh pihak berkuasa.

Hadirin sekalian,

          Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan hendaklah bertegas dengan mereka yang melanggar undang-undang kualiti alam sekitar di negara ini. Pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman penjara selain denda yang kadangkala begitu murah untuk dibayar oleh syarikat-syarikat ini. Satu pemeriksaan mengejut juga perlulah dijalankan oleh pihak berkuasa dalam usaha menangani isu ini.

         Selain itu, masyarakat juga perlu berubah terutama sikap tidak peduli mereka itu. Semua ahli masyarakat hendaklah membuat laporan jika ternampak sebarang tindakan mencemarkan udara kita seperti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa. Sikap seperti inilah yang akan memudahkan pihak berkuasa untuk memantau tindakan-tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak itu.

        Kesedaran tentang bahaya pencemaran udara ini juga perlu dipupuk sejak kecil. Kanak-kanak terutama di bangku sekolah renda hendaklah diterangkan bahawa udara amat bernilai buat kehidupan manusia. Sikap menanam kesedaran pada peringkat awal ini pasti memberi impak kepada mereka apabila dewasa kelak.

Sekian, terima kasih.

KARANGAN CONTOH 2


Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Komputer dan Peranannya‟.

           Komputer sudah menjadi sinonim dengan kehidupan moden zaman ini. Hampir semua pejabat malah individu memiliki sebuah komputer untuk menjalani kehidupan hariannya. Jadi, apakah perana-peranan komputer yang sebenarnya?

           Komputer juga boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi pendidikan pelajar di sekolah. Kalau kita lihat sudah ada banyak halaman web yang menjadikan subjek pelajaran sekolah sebagai bahan kandungannya bersama-sama penggunaan komputer yang semakin meluas dalam kalangan guru ketika mengajar pelajar. Oleh itu, komputer berperanan untuk mendidik pelajar dengan kaedah yang lebih mudah dan menarik.

            Malah, komputer juga boleh merapatkan atau memudakan hubungan antara manusia terutama hubungan jarak jauh. Ibu bapa yang tinggal berjauhan dengan anak mereka kerana anak melanjutkan pelajaran di luar negara boleh menggunakan program tertentu di komputer untuk berkomunikasi lalu menjalin hubungan rapat dengan anak mereka. Jadi, komputer memastikan hubungan antara sesama manusia itu terus berlaku walaupun faktor geografi memisahkan mereka.

            Tambahan pula, komputer memudahkan seseorang untuk mendapatkan apa-apa maklumat terkini dengan cara yang pantas serta mudah. Semua maklumat sudah siap wujud di dalam rangkaian internet yang boleh diakses menerusi komputer di mana-mana tempat pun di dunia ini. Jelaslah, komputer membolehkan seseorang itu memperoleh maklumat yang betul lalu tidak melakukan kesilapan dalam keputusannya.

            Konklusinya, komputer menjadikan kehidupan manusia lebih selesa dan mampu mencapai satu tahap yang memuaskan. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memastikan penggunaan komputer ini dialami oleh semua lapisan masyarakat. Rakyat negara ini harus celik komputer jika mahu bersaing dengan masyarakat luar.

KARANGAN CONTOH 1


Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah Menonton Televisyen”.

            Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang begitu meluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita kini. Hampir setiap rumah pasti memiliki satu atau mungkin dua televisyen. Jadi, keadaan ini membuktikan bahawa ada banyak faedah menonton televisyen kepada masyarakat.

            Faedah yang pertama ialah seseorang itu dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di seluruh dunia dengan mudah dan cepat. Kita boleh menonton siaran berita yang memaparkan kejadian-kejadian penting yang berlaku di luar negara. Jelaslah, televisyen menjadikan seseorang itu lebih mengetahui peristiwa semasa yang sedang berlaku di dalam dan di luar negara.

            Selain itu, televisyen juga boleh dijadikan sebagai alat pendidikan yang berguna. Sudah ada banyak program berunsur pendidikan yang disiarkan menerusi televisyen bersama-sama program dokumentari dan sains yang boleh memberi informasi kepada pelajar tentang sesuatu ilmu pengetahuan itu. Maka, pelajar boleh mempelajari tentang pelajarannya menerusi program televisyen juga.

            Malah, menonton televisyen menjadikan masa lapang seseorang itu dihabiskan dengan begitu berfaedah. Seseorang itu tidak akan terbabit dalam gejala tidak sihat kerana mereka tidak perlu keluar dari rumah untuk menonton televisyen. Oleh itu, tindakan menonton televisyen memastikan seseorang itu menghabiskan masanya dengan bermanfaat.

            Kesimpulannya, menonton televisyen merupakan satu tindakan yang berfaedah kepada manusia itu. Kebanyakan siaran televisyen berupaya untuk menjana pemikiran seseorang menjadi lebih kritis dan kreatif. Cuma kita perlu mengawalnya agar sikap menonton ini tidak keterlaluan atau terlalu lama untuk satu tempoh tertentu pula.

Wednesday, September 30, 2009

Contoh Bahan Bantu Mengajar Kemahiran Hidup

Latihan

Latihan perlu diberikan kepada pelajar supaya guru dapaat mengenal pasti tahap pemahaman murid tentang topik yang diajar. Berikut adalah contoh latihan kemahiran hidup
Latihan